Archive for the ‘Aqidah’ Category

5 adab, kaedah sambut kelahiran bayi dalam Islam

Azan, akikah antara amalan tanda syukuri kehadiran orang baru

Allah SWT berfirman dalam surah as-Syura ayat 49 dan 50: “Bagi Allah jualah milik segala yang ada di langit dan di bumi. Dia menciptakan apa yang dikehendaki-Nya. Dia mengurniakan anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Atau Dia mengurniakan mereka kedua-duanya, anak-anak lelaki dan perempuan dan Dia juga menjadikan sesiapa yang dikehendaki-Nya mandul.”

Alhamdulillah, bersyukurlah kepada Allah SWT kerana dikurniakan anak. Dalam Islam ada adab-adab yang perlu diikuti agar dinilai sebagai suatu ibadat. Sebagai contoh, adab menyambut kelahiran, antaranya;

Hendaklah orang yang mengetahui saudaranya yang baru menerima cahaya mata untuk menunjukkan rasa gembira dengan kelahiran anak dengan ucapan tahniah.

Ucapan yang terbaik adalah seperti disebut oleh Ulama’ iaitu: “Burika laka fil Mauhub, wasyakartal Wahiba, wabalagha rushdahu waruziqta birrahu (Moga diberkati untukmu pada kurnia-Nya dan hendaklah engkau bersyukur kepada Pengurnia (Allah) dan moga anak itu mencapai umur dewasa dan engkau memperoleh kebaktiannya).”

Apabila anak itu lahir, maka hendaklah diazankan pada telinga kanan bayi dan diiqamatkan pada telinga kirinya

seperti hadis diriwayatkan al-Baihaqi dalam kitab asy-Syu’ab daripada hadis Hasan bin Ali RA daripada Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang dianugerahkan seorang bayi, lalu dia mengumandangkan azan di telinga kanannya dan iqamat di telinga kirinya, maka bayi itu akan dijauhkan daripada Ummu Syibyan.” Menurut sebahagian ulama, Ummu Syibyan adalah jin perempuan. Ada yang mengatakan apa saja yang menakutkan anak dan ada yang mengatakan angin yang menyebabkan sakit.

Hendaklah ditahnikkan bayi itu.

Tahnik bermaksud mengambil sedikit kurma pada jari telunjuk lalu dimasukkan pada mulut bayi lalu digerakkan perlahan-lahan ke kanan dan ke kiri agar menyentuh seluruh mulut bayi. Seterusnya manisan itu akan masuk ke rongga tekak dan tahnik ini dilakukan supaya memudahkan bayi ketika menyusu. Sebaik-baiknya orang yang mentahnik bayi adalah orang yang salih supaya bayi berkenaan memperoleh keberkatan. Menurut hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Musa RA: “Saya dikurniakan seorang anak lelaki. Lalu saya membawanya kepada Nabi SAW. Baginda SAW memberikan namanya Ibrahim dan mentahniknya dengan kurma.” (Imam al-Bukhari menambahkan: Rasulullah mendoakan agar diberi berkat dan dipulangkan bayi itu kepadaku).

Mencukur rambut bayi.

Ibnu Ishaq menyebutkan sebuah hadis riwayat al-Baihaqi daripada Abi Rafi’ Maula Rasulullah SAW bahawa ketika Hasan bin Ali lahir, ibunya Fatimah ingin mengakikahkannya dengan dua ekor kambing. Lalu Rasululullah SAW bersabda: “Jangan kamu mengakikahkannya tetapi cukurlah rambutnya kemudian sedekahlah dengan perak seberat timbangan rambutnya di jalan Allah atau berikan kepada orang musafir.” Kemudian (tahun berikutnya) apabila lahirnya Husain selepas itu, Fatimah melakukan seperti itu juga. Imam al-Baihaqi berkata: “Jika hadis ini sahih, agaknya Rasulullah SAW mahu mengakikah sendiri cucu Baginda seperti yang kami riwayatkan.”

Melakukan akikah iaitu anak lelaki dua ekor kambing dan anak perempuan seekor kambing

seperti disebutkan dalam sebuah hadis riwayat Ahmad daripada Aisyah RHA, beliau berkata: “Rasulullah menyuruh kami supaya mengakikahkan anak perempuan dengan seekor kambing dan anak lelaki, dua ekor kambing.” Demikianlah, wallahua’lam.

 

Dipetik dari : http://epondok.wordpress.com/2011/06/30/5-adab-kaedah-sambut-kelahiran-bayi-dalam-islam/

Saidatina Khadijah: Contohilah Dia Wahai Wanita

alt

Sebab apa jadi sebegini? Semenjak hari-hari yang saya lalui minggu ini, saya terbaca banyak perkara dan belajar pelbagai perkara mengenai wanita.

Dan hari-hari yang saya lalui di tempat saya menyambung belajar ini, saya melihat pelbagai ragam dan jenis wanita.

Dan dengan itu juga, saya ingin berkongsi dengan kalian akan tajuk mengenai, ‘Wanita’.

Dalam realiti dunia yang penuh dengan kemajuan hari ini, kita dapat lihat bahawa wanita-wanita juga seiring dengan kebangkitan kemajuan pada hari ini.

Akan tetapi, kita dapat lihat juga segelintir dalam kalangan wanita-wanita yang menjadikan diri mereka ini sebagai fitnah yang besar, terutamanya kepada agama mereka sendiri.

Rasulullah SAW bersabda; “Berhati-hatilah kalian daripada godaan dunia, dan waspadailah terhadap wanita, sebab fitnah pertama yang menimpa Bani Israil adalah fitnah wanita” –Hadis Riwayat Muslim

“Tidak aku tinggalkan fitnah yang lebih berbahaya bagi seorang lelaki daripada (fitnah) wanita.” – Hadis Riwayat Bukhari

Apabila membicarakan tentang fitnah wanita, bukan bermakna wanita itu jahat dan sukakan keburukan.

Tetapi apa yang dimaksudkan ialah keadaan mereka itu mampu menjadikan lelaki lupa daratan dan apabila usaha pencegahan tidak dilakukan, akan berlakulah perkara-perkara yang tidak diingini.

Ini sudah pasti apabila lelaki yang berkenaan tidak berhati-hati. Bagaikan binatang ternak yang memakan rumput berdekatan dengan padang larangan, adalah mudah bagi binatang itu memasuki kawasan tersebut.

Dan pada hari ini juga, kita dapat lihat wanita-wanita Islam semakin ramai antara mereka yang terhakis akhlaknya seterusnya menghilangkan identiti Muslimah sebenar daripada diri mereka.

Kongsikan kepada kami produk anda, lokasi perniagaan, dan kehebatan tentang produk anda! Mari daftar di http://direktori.iluvislam.com sekarang! Serendah RM5 Sebulan* Promosi RM50 selama setahun!(Sah sehingga 30 Jun 2011)

Dengan ini, saya ingin mengajak kita semua, tidak kira kaum lelaki dan kaum wanita untuk sama-sama menyelusuri kisah kehidupan seorang wanita yang kehidupannya banyak dijadikan sebagai tulang belakang pendokong seorang lelaki.

Siapakah wanita itu? Semestinya dialah Saidatina Khadijah RA. Isteri tercinta seorang lelaki, Nabi Muhammad SAW.

Mengapa saya ingin bawakan kepada wanita-wanita sekalian akan kisah wanita ini?

Kerana hakikatnya juga, wanita-wanita pada hari ini lebih menjadikan artis-artis sebagai idola dan pujaan hati dalam diri mereka untuk dicontohi.

“Demi Allah, tidak ada ganti yang lebih baik dari dia, yang beriman kepadaku saat semua orang ingkar, yang percaya kepadaku ketika semua mendustakan, yang mengorbankan semua hartanya saat semua berusaha mempertahankannya dan darinyalah aku mendapatkan keturunan.”

Begitulah Rasulullah saw berkata tentang keperibadian Khadijah, isterinya.

Seorang isteri sejati, muslimah yang dengan segenap kemampuan dirinya berkorban demi kejayaan Islam

Siti Khadijah berasal dari keturunan yang terhormat, mempunyai harta kekayaan yang tidak sedikit serta terkenal sebagai wanita yang tegas dan cerdas.

Bukan sekali dua kali pemuka kaum Quraisy cuba untuk mempersunting dirinya.

Tetapi pilihannya justeru, jatuh pada seorang pemuda yang bernama Muhammad, pemuda yang begitu mengenal harga dirinya, yang tidak tergiur oleh kekayaan dan kecantikan yang dimiliki oleh Saidatina Khadijah Khuwailid RA.

Saidatina Khadijah RA merupakan wanita pertama beriman kepada Allah dan Rasul-Nya.

Beliau banyak membantu dan memperteguhkan tekad Rasulullah SAW melaksanakan risalah dakwah.

Beliau sentiasa berusaha meringankan kepedihan hati dan menghilangkan keletihan serta penderitaan yang dialami oleh suaminya dalam menjalankan tugas dakwah.

Inilah keistimewaan dan keutamaan Khadijah dalam sejarah perjuangan Islam.

Beliau adalah sumber kekuatan yang berada di belakang Rasulullah SAW. Adakah ramai wanita-wanita yang bergelar isteri di luar sana mencontohi sebagaimana peribadi Ummul Mukminin ini?

Sanggup bersusah-payah bersama suami meskipun seorang yang kaya-raya… Dan adakah wanita-wanita di luar sana, yang bakal bergelar isteri, sudah bersedia mencontohi peribadi Ummul Mukminin ini?

Apabila ditanya tentang Siti Khadijah RA akan perpisahan Rasulullah SAW atas pemergiannya, Rasulullah SAW menjawab, “Ya! Sesungguhnya Khadijah adalah pentadbir dan suri rumah yang terbaik.”

Buat wanita-wanita yang membaca dan berkongsi pandangan bersama, Apakah ada wanita lain yang dapat menyambut sedemikian baik peristiwa bersejarah yang berlaku di Gua Hira seperti yang dilakukan oleh Khadijah kepada suaminya?

Apa yang dikatakan oleh Khadijah kepada suaminya pada saat menghadapi peristiwa besar itu menunjukkan betapa besarnya kepercayaan dan kasih sayang seorang isteri kepada suami yang dilandasi iman yang teguh.

Sedikit pun Khadijah tidak berasa ragu-ragu atau syak di dalam hatinya.

Persoalannya, dapatkah kita jika sebagai suami dan isteri berlaku demikian untuk diri dan tugas masing-masing?

Khadijah berusaha menabahkan hati suami yang ditaatinya dengan berkata, ” Wahai kekanda, demi Allah, Tuhan tidak akan mengecewakanmu kerana sesungguhnya kekanda adalah orang yang selalu memupuk dan menjaga kekeluargaan serta sanggup memikul tanggungjawab.

Dirimu dikenali sebagai penolong kaum yang sengsara, sebagai tuan rumah yang menyenangkan tamu, ringan tangan dalam memberi pertolongan, sentiasa berbicara benar dan setia kepada amanah.”

Sememangnya, wanita-wanita yang begitu tinggi darjatnya dalam Islam dalam lipatan sejarah suatu masa dahulu semakin dilupakan.

Kesetiaan yang mendorong kegigihan

Mari kita teliti, fahami serta hayati beberapa gambaran kesetiaan Khadijah yang telah membina kekuatan pada diri dan kehidupan penegak risalah Islam itu.

Sepanjang hidupnya bersama Rasulullah SAW, Khadijah begitu setia menyertai baginda dalam setiap peristiwa suka dan duka.

Setiap kali suaminya ke Gua Hira, beliau pasti menyiapkan semua bekalan dan keperluannya. Seandainya Rasulullah SAW agak lama tidak pulang, beliau akan meninjau untuk memastikan keselamatan baginda. Sekiranya baginda khusyuk bermunajat, beliau tinggal di rumah dengan sabar sehingga baginda pulang.

Apabila suaminya mengadu kesusahan serta berada dalam keadaan gelisah, beliau cuba sedaya mungkin mententeram dan menghiburkannya sehingga suaminya benar-benar merasai ketenangan.

Setiap ancaman dan penganiayaan dihadapi bersama.

Malah dalam banyak kegiatan peribadatan Rasulullah SAW, Khadijah pasti bersama dan membantu baginda seperti menyediakan air untuk mengambil wuduk.

Kecintaan Khadijah bukanlah sekadar kecintaan kepada suami, sebaliknya yang jelas adalah berlandaskan keyakinan yang kuat tentang keesaan Allah SWT.

Segala pengorbanan untuk suaminya adalah ikhlas untuk mencari keredaan Allah SWT.

Allah Maha Adil dalam memberi rahmat-Nya.

Setiap amalan yang dilaksanakan dengan penuh keikhlasan pasti mendapat ganjaran yang berkekalan.

Firman Allah yang bermaksud:

“Barang siapa yang mengerjakan amalan saleh, baik lelaki mahupun wanita dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan Kami berikan balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang telah mereka kerjakan.” – An-Nahl: 97

Janji Allah itu pasti benar. Kesan kesetiaan Khadijah bukan sekadar menghasilkan kekuatan yang mendorong kegigihan dan perjuangan Rasulullah SAW, malah membawa barakah yang besar kepada rumah tangga mereka berdua.

Anak-anak yang lahir juga adalah anak-anak yang soleh.

Keturunan zuriat ahlul-bait Rasulullah SAW merupakan insan yang sentiasa taat melaksanakan perintah Allah SWT.

Semua ini menghasilkan kekuatan yang membantu meningkatkan perjuangan Islam.

Wahai lelaki, wanita bagaimanakah yang kamu hajatkan sebagai pasangan hidup, tulang belakang (pendokong) hidupmu dan pembimbing anak-anakmu?

Wahai wanita, suami yang bagaimanakah peribadinya yang kamu inginkan sebagai ketua,pembimbing dirimu dan keluargamu?

Wahai ummah, wanita yang bagaimanakah kita lihat pada hari ini, yang bagaimana kita cari, dan yang bagaimanakah kita puja dan puji?

Moga-moga renungan ini sedikit sebanyak membuka mata buat kaum Hawa dan kaum Adam yang membacanya.

Agar sebagai persediaan buat hari-hari seterusnya.

– Artikel iluvislam.com

Perbaharui iman, dekat diri kepada Allah

Oleh USTAZ ZAINUDIN HASHIM

KEMULIAAN seseorang berkait rapat dengan kesungguhannya dalam menambah dan meningkatkan iman. Dan perkara yang paling berpotensi untuk menhttp://aki2004.files.wordpress.com/2011/06/masjid.jpg?w=119&h=89ambah dan menguatkan iman adalah melalui ‘ilmu’, kemudian ‘amal salih’ dan ‘zikrullah’.

Maka tiap kali seorang hamba menambah ilmu dan amal salihnya bererti dia sedang memperbaharui imannya.
Inilah yang dimaksud oleh hadis Rasulullah s.a.w. dalam sabdanya yang bermaksud: “Perbaharuilah iman kamu, baginda ditanya: “bagaimana kami boleh memperbaharui iman kami, beliau menjawab: “perbanyaklah mengucapkan kalimat laa Ilaha Illallah.” (Riwayat Ahmad : 8944 dan Al Hakim: 7766)

Memperbaharui iman sangat penting bagi setiap Muslim, apalagi para aktivis dakwah dan para mujahid fisabilillah. Sebabnya ialah kesibukan dengan tugas harian, sering kali didapati kesibukan dalam menjalankan tugas-tugas dakwah, ditambah lagi kesibukan mencari nafkah atau mengurus rumah tangga, para aktivis dakwah dan mujahid tidak sempat untuk mengurus hatinya yang terkadang-kadang melekat padanya warna hitam yang terpalit dosa yang tidak disedarinya.

Justeru Rasulullah s.a.w. mengingatkan kita dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya orang mukmin apabila melakukan suatu dosa terbentuklah bintik hitam di dalam hatinya. Apabila dia bertaubat, kemudian menghentikan dosa-dosanya dan beristighfar, maka bersihlah daripadanya bintik hitam itu. Dan apabila dia terus melakukan dosa bertambahlah bintik hitam pada hatinya sehingga tertutuplah seluruh hatinya, itulah karat yang disebut Allah di dalam kitabnya: “Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya apa yang mereka usahakan telah menutup hati mereka.”(Surah al- Mutaffifin ayat 14). (Hadis riwayat al-Baihaqi)

Imam al-Ghazali pernah berkata, bahawa hati (qalbu) itu ibarat cermin. Ketika seseorang melakukan dosa/maksiat, maka ada satu titik hitam menodai qalbunya. Semakin banyak dosa, semakin banyak titik itu menutupi qalbunya. Jika sudah tertutup dengan banyak titik hitam, qalbu yang ibarat cermin itu tidak mampu lagi digunakan untuk bercermin; dengan demikian, kepekaan spiritual yang biasa dilakukannya, akan lenyap daripada dirinya.

Jika sudah seperti itu, jangankan dosa kecil, apalagi sekadar berbuat makruh dan melakukan banyak hal mubah yang melalaikan, dosa besar sekalipun tidak lagi dianggap besar.

Jangankan meninggalkan hal sunnah, meninggalkan kewajipan pun sudah dianggap perkara biasa. Akhirnya, kepekaan qalbunya akan hilang; tidak lagi mampu mengenali dosa, apalagi dosa yang dianggap kecil.

Arahan baginda s.a.w. untuk memperbaharui iman bertujuan mengikat qalbu dan hati manusia kepada Allah, Tuhan Yang Mencipta alam ini dan segala yang ada di antara langit dan bumi, terutama golongan pendakwah, motivator, ustaz, pensyarah, pemerintah dan apa sahaja namanya, kesemua mereka dituntut untuk sentiasa memperbaharui iman. Kenapa perlu perbaharui iman?

Ini kerana setiap daripada kita bukan maksum, sering melakukan kesalahan sama ada yang disedari ataupun tidak, dan kita juga tidak mengetahui kemungkinan semasa remaja dahulu, kita pernah bersalahan dengan kedua-dua ibu bapa dan tidak sempat memohon kemaafan daripada mereka.

Mungkin juga ketika memilih pasangan hidup dengan cara membelakangkan syariat agama Allah, mungkin juga ketika dianugerahkan Allah dengan kehadiran anak-anak tetapi tidak mentarbiyah mereka dengan Islam yang sempurna, boleh jadi juga sekarang sudah bergelar suami dan ayah tidak mendidik isteri dan anak-anak dengan Islam dan banyak lagi.

Justeru baginda s.a.w. ada menegaskan dalam satu hadisnya yang mafhumnya kita boleh fahami, bahawa berpagi-pagi seseorang Muslim itu sebagai seorang Muslim, dan ketika berpetang-petang dia menjadi kafir, begitulah sebaliknya, ini menunjukkan bahawa seseorang Muslim itu tanpa disedari melakukan kesalahan yang melibatkan persoalan agama, sebagai contoh, pada waktu pagi bersolat subuh, tengah hari di pejabat menerima sogokan atau rasuah daripada seseorang untuk mengeluarkan lesen dan sebagainya.

Mari kita renung persoalan iman dan amalan yang dilakukan oleh para ahli ibadat, tidak akan meningkat mutunya jika tidak disandarkan kepada kefahaman mendalam mengenai ilmu-ilmu fardu ain, malah seseorang itu perlu mengetahui sedalam-dalamnya maksud dan tujuan beribadat kepada Allah SWT, ia tidak lain agar hati-hati manusia menjadi lunak, lembut dan sentiasa berhubung dengan-Nya.

Berikut adalah antara pendekatan agama yang menjadi kemestian untuk diketahui, direnungi dan seterusnya diamalkan sebagai satu cara hidup beribadat kepada Allah:

1. Setiap Muslim perlu mengetahui, bahawa Allah SWT amat gembira kepada hamba-Nya yang sentiasa memohon dan berhubung dengan-Nya.

2. Setiap Muslim juga perlu mengetahui, bahawa segala apa yang menimpa diri adalah hasil daripada dosa dan kesalahan yang dilakukan. Hal ini telah diperingatkan Allah menerusi ayat 79 surah an-Nisa: “Apa saja nikmat yang kamu perolehi adalah daripada Allah, dan apa saja bencana yang menimpamu adalah kesalahan diri kamu sendiri.”

3. Semestinya setiap Muslim tidak terlibat dalam dosa-dosa besar dan kecil yang berterusan, kerana ia boleh menjadikan seseorang itu jauh daripada rahmat Allah dan sentiasa berwaspada dalam hubungan akidahnya dengan Allah.

4. Setiap Muslim perlu mengetahui, bahawa dosa-dosa yang dilakukan itu mempunyai banyak rangkaian yang menjurus ke arah neraka, justeru perlu dia menjaga hati, roh dan meyakini bahawa segala kebaikan yang dilakukan mampu menyelamatkannya dari memasuki api neraka. Sehubungan ini, Allah SWT menjelaskan dalam ayat 81 surah al-Baqarah, bermaksud: “Sebenarnya, sesiapa melakukan dosa dan dia telah dikuasai oleh dosanya, mereka itulah penghuni neraka dan kekal di dalamnya.”

5. Perlu setiap daripada kita mengetahui, bahawa kita sebagai manusia, sentiasa terdedah kepada dosa dan maksiat, ini membuktikan kelemahan diri kita dan sekali gus membuktikan keagungan Allah, justeru kewaspadaan adalah senjata paling utama dalam menangkis segala kekurangan daripada sifat-sifat mazmumah.

6. Dalam menjalani proses kehidupan sebagai Muslim, kita berada antara dua keadaan, sama ada roh kita akan maju atau sebaliknya, perkara ini dijelaskan oleh Allah menerusi ayat 37 surah al-Muddathir yang bermaksud: “Iaitu bagi siapa yang ingin maju dengan peringatan atau mundur dengan menolak peringatan.”

dipetik dari : http://aki2004.wordpress.com/2011/06/26/perbaharui-iman-dekat-diri-kepada-allah/

PERINGKAT-PERINGKAT HIBURAN .

Berhibur dan menghibur itu tidak salah.Yang salah itu kalau kita tersalah dalam memilih hiburan dan tersilap dalam memberi hiburan..

Secara kasarnya, hiburan dapat dibahagi kepada empat peringkat:

1. Hiburan yang melalaikan .

Hiburan yang muatan isinya sangat melalaikan, lupa dengan Tuhan, lupa akhirat tidak kira halal dan haram.

2. Hiburan orang biasa/ awamul muslimin

Hiburan yang mengandungi zikir, selawat dan lain-lain. Contoh hiburan ini di antaranya nasyid, selawat dan lain-lain.

3. Hiburan orang-orang soleh

Orang soleh hatinya akan terhibur dengan melihat keindahan alam ciptaan Tuhan, melihat gunung, bukit-bukit, lautan dan sebagainya sehingga terasa dalam hatinya kuasa dan hebatnya Tuhan.

4. Hiburan para nabi, para rasul dan para kekasih Allah

Hiburan ini adalah hiburan sejati tingkat tinggi, mereka merasa sangat terhibur dengan ujian dari Allah, kerana ujian adalah sebagai tanda perhatian dan kasih sayang Allah serta peningkatan darjat . Bahkan apabila Allah tidak mendatangkan ujian, mereka rasa menderita, takut kalau-kalau Allah sudah tidak memberikan kasih sayang dan perhatian-Nya lagi.

” Hiburan yang mendidik manusia membawa kepada cinta dan takutkan Tuhan. Ianya selamat lagi menyelamatkan serta kesannya berkekalan. Merupakan makanan yang berkhasiat dan berzat, cukup dengan segala vitamin untuk keperluan pembentukan dan pembangunan jiwa, mental dan fizikal manusia, juga berupaya menjadi racun membunuh nafsu yang merosakkan. Hasilnya akan terbinalah peribadi agung yang kuat jiwanya, tinggi akhlaknya, tajam mindanya, menjadikan tamadun ilmu sebagai budaya serta mampu mencorak dan melahirkan bangsa baru yang gemilang, cemerlang dan terbilang. “